Carian

Audit Diri

Assalamualaikum
Nak keep up menulis macam empat tahun yang lalu tak semudah yang disangka. Apatah lagi setiap kali ingin menulis, pasti akan ditapis-tapis dan akhirnya tak ditulis. 

Kali ini, aku rasa perlu untuk tulis. Untuk tatapan sendiri dan mereka yang sudi meluangkan masa untuk membaca. 

Semenjak dua menjak ini, aku amat gemarkan frasa AUDIT DIRI atau bahasa usrahnya MUHASABAH DIRI atau bahasa mudah REFLEK DIRI. Biasa dengar bila ada kem atau pergi dengar kuliah atau menghadiri bulatan gembira. Pada aku sepatutnya menjadi satu proses yang berterusan, tak kira kat mana kita, tak kira siapa kita. Dan semua yang berlaku di depan mata kita sepatutnya menjadi asbab untuk kita audit diri, tidak kira kita terlibat secara lansung atau tidak atau pun kita cuma penonton.

Aku percaya, semua orang ada buat audit diri, tapi berapa ramai yang mengorak langkah untuk mengambil tindakan ke atas audit yang negatif? Aku sendiri pun banyak audit negatif yang belum dipositifkan. 

Suami pernah berkata, persekitaran kita akan menjadi pengaruh besar atas tindak tanduk kita dan sifat kita. Contoh, suka buat kerja last minute atau jadi cerewet sangat ataupun jadi malas untuk bergerak untuk produktiviti diri. Banyaklah contoh-contoh lain yang kita boleh fikirkan. Persekitaran memang sedikit sebanyak akan mempengaruhi kita, dan kadang-kadang kita terpaksa akur pada persekitaran kerana hendak menjaga hati manusia atau kerana kita tidak mahu dianggap pelik.

Ingatlah, ketika Nabi Muhammad membawa ajaran Islam banyak tohmahan dan hinaan yang Baginda terima malah pernah dituduh mempunyai ilmu sihir. Bukan nak kata kena jadi Nabi, tetapi untuk melihat pada norma-norma yang tidak sihat, yang bukan sunnah dan perlu diubah. Antara contoh yang gemar digunakan anak muda ialah hantaran kahwin melambung-lambung mahal atau majlis perkahwinan yang besar-besaran sehingga membazir. Contoh lain ialah menyanjung atau meninggikan ustaz-ustaz atau rumah yang menjaganya perempuan (kemas dan masak) atau menunjuk-nunjuk kesenangan kita dan banyak lagi. Kadang norma ini tidak dipandang salah malah disambut hebat seperti hidup berlumba-lumba tanpa arah tuju. 

Bercerita tentang audit diri, beberapa siri kejadian dan insiden dan pengalaman orang yang aku dengar membuatkan aku merasakan audit diri ini lebih daripada kita merenungkan apakah kesilapan dan dosa kita. 

Sejak bergelar ibu, banyak perkara yang aku fikirkan. Pembesaran anak, pendidikan anak dan semestinya aku inginkan yang terbaik untuk anak aku. Menjadi ibubapa lagilah perlu banyak mengaudit diri, kerana kelak anak akan melambangkan siapa ibu bapanya. Buruk ke baik. Aku amat terkesan dengan kata-kata Dr. Harlina berhubung kes beliau menegur peniaga online tentang budi bahasa "Mungkin salah generasi kami yang mendidik generasi masa kini sehingga masalah ini dipandang remeh". Allah, luluh hati aku dengar. Kalau beliau terasa generasi beliau ter'salah' didik, apatah lagi generasi aku yang sedang membentuk generasi akan datang ini?  

Antara perkara lain yang aku terlintas tentang audit diri adalah hubungan kita dengan manusia; terutama dengan mereka yang saban hari kita jumpa atau yang bertalian darah dengan kita atau orang bawahan kita sekalipun. Kadang manusia ini, bila selesa di atas, dia lupa untuk menyelami atau memikirkan tentang mereka dibawahnya.

Pernah tak, kita terasa hati dengan tindak tanduk atau bahasa badan yang dipamerkan orang pada kita, lagi-lagi orang yang dekat? Biasa bukan? Pernah tidak kita terfikir, agaknya on the first place dia yang terasa hati dengan kita dan secara tidak sengaja dia menyakiti hati kita kerana dia tidak mahu tersinggung untuk kali kedua? Jarang. Aku sendiri jarang memikirkan hal sebegini. Selalu akan aku rasa aku yang betul dan dia yang salah. EGO memakan diri. Helah si syaitan berjaya. 

Penyakit hati hanya dapat disembuhkan oleh kita sendiri; dengan solat, amalan-amalan sunat dan muhasabah diri. Kadang-kadang kita rasa sudah cukup dengan amalan. Tapi kita lupa muhasabah diri banyak membantu dari segi membuang ego yang tidak bertempat dan memperbaiki segala yang negatif. 

Ramai yang mahu mengikut sunnah nabi dari segi amalan, tetapi tak ramai yang mahu ikut sunnah nabi dari segi pergaulan dengan ahli rumah, masyarakat dan kerajaan. Ini hakikatnya manusia sekarang. Maka tidak hairan kalau wujud golongan yang benci akan golongan yang mengikuti usrah, atau wujud golongan yang hebat agama skeptikal pada mereka yang biasa-biasa. Aku juga tergolong. Aku memang orang yang skeptikal. Sangat skeptikal. Pada suatu ketika dahulu sebelum aku jatuh teruk untuk bangkit dan membuang sikap skeptikal yang masih lagi bersisa. 

Imam Ghazali pernah berpesan:


"Apabila berjumpa kanak-kanak
anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa.

Apabila berhadapan dengan orang tua pula, 
anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.

Apabila berjumpa orang alim
anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.

Apabila melihat orang jahil, 
anggaplah mereka lebih mulia kerana mereka berbuat dosa kerana kejahilan 
sedangkan kita berdosa dalam keadaan mengetahuinya.

Apabila berjumpa orang jahat, 
jangan anggap kita mulia
Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, 
sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.

Apabila bertemu orang kafir katakan, 
belum tentu dia akan kafir selama-lamanya."


Pesanan yang sangat mendalam dan penuh makna. Cukuplah memandang negatif pada orang lain, cari dan galilah negatif yang ada pada diri, yang mana tidak berlandaskan syariat dan sunnah. Cukuplah merasakan kita yang terbaik, malah rasakan masih banyak lagi yang perlu kita perbetulkan.