Carian

COMMON SENSE

Assalamualaikum

Selamat menyambut HARI KEMERDEKAAN KE-59 buat Malaysia. Sudah setengah abad lebih negara kita diisytiharkan MERDEKA.

Entri pendek kali ni aku cuma nak mencoretkan beberapa buah pandangan dari pemerhatian aku.

Usia aku masih muda, baru suku abad hidup. Mungkin belum pun layak untuk mengutarakan pendapat, bak kata rata-rata orang yang lebih makan garam.  Pada pemerhatian aku, nilai kematangan di Malaysia lebih dilihat pada nilai umur. Percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Bila anak muda remaja mula bersuara, pasti akan ada yang menyebut "kami makan garam dulu dari kamu". Itu satu fakta yang kami tak mampu sangkalkan. Namun, pada aku ramai yang menggunakan alasan 'makan garam dulu' untuk berada di takuk lama dan selesa di zon sedia ada.

Pernah satu saat dulu, aku geram pada sikap junior dan alasan yang aku selalu guna ialah 'takkan tak tahu itu COMMON SENSE'. Bunyinya matang, tetapi sebenarnya tidak. Perkataan COMMON SENSE itu sebenarnya satu alasan buat memuaskan hati kita untuk menjusifikasikan tindak tanduk kita adalah biasa dan dalam persekitaran norma kehidupan.

Kalaulah common sense itu memang betul common, takkan wujud perbezaan budaya dan adat di serata dunia. Cuba perhatikan sekeliling kita. Memang kita akan rasa itu common sense. Tetapi cuba kita keluar dari zon selesa kita, mengembara mengenal budaya dan adat di luar sana. Carilah common sense yang kita banggakan sangat.

Contoh paling mudah ialah memberi tempat duduk kepada yang memerlukan dalam pengangkutan awam di Malaysia dan di Russia. Common sense di Malaysia ialah, siapa dapat duduk dulu, itu tempat dia. Percaya atau tidak, perhatikanlah. Kenapa aku kata itu common sense di Malaysia? Sebab itulah yang dipraktikkan di Malaysia. Sehinggakan hal kemanusiaan sebegini perlu dibuat iklan dan kempen! Kalau di Russia, common sense mereka ialah siapa yang memerlukan tempat duduk akan diberikan tempat duduk. Kau tak bagi kau akan dikutuk secara langsung. Percayalah.

Kenapa aku bandingkan benda seremeh ini? Pada aku wajar kita semua sedar yang ada setengah common sense adalah nonsense. (Maaf kalau bunyinya kasar). Kita rasa common sebab kita membesar dan dididik sebegitu, tetapi dengan ilmu semua ini boleh diperbetulkan. Masalah kita ialah kita terlalu selesa atau terlalu ego untuk mengubahnya. Sebab tu Tuhan suruh mengembara. Mengembara jangan ala-ala dato datin. Mengembara dengan apa yang kita mampu untuk kita merasa kepayahan dan kesusahan mengembara dan mengambil ibrah dari pengembaraan kita. Kalau mengembara gaya dato datin yang kita dapat banyaknya makan sedap, tidur lena, gambar cantik je.

Bila kita merantau, kita akan mula perhatikan kebiasaan atau norma masyarakat setempat. Yang mana baik kita ikut, yang mana tidak kita jadikan pengajaran. Sebab tu bila merantau minda dan fikiran sepatutnya lebih terbuka dan lebih jauh pandangannya. Baru kita nampak baik buruknya adat dan budaya yang kita ada. Tak mampu nak mengembara secara fizikal, mengembaralah dengan minda yang lapang. Bila bertukar pendapat jangan tahu nak menang je, tapi tahu nak mendapat sesuatu yang baru. Kalau nak menang sahaja, hiduplah kita dengan kesombongan yang tak berkesudahan.

Aku menulis kali ini lebih kepada aku meluahkan pendapat, kalau tidak setuju silakan untuk membidas. Macam yang aku tulis awal-awal, aku baru suku abad hidup. Masih terlalu jauh perjalanan hidup aku. Apa yang aku coretkan cuma pemerhatian aku atas tindak tanduk sekeliling aku sahaja.

Forever Living

Assalamualaikum


Dua kali mengandung, dua pengalaman yang berbeza.

Masa mengandungkan Wildan dulu, aku mengharaplah muka jadi berseri-seri sebab orang selalu kata bila mengandung ada seri di wajah. Haha. Nope. I did not have clear skin or glowing skin at that year.
Monthly breakouts ada tapi semua versi halus mulus yang boleh diuruskan. Mengandung pula musim sejuk, masalah kulit kering memang ada tapi tak seperti dua tahun sebelumya. Dan aku baru tahu masa mengandung ada sesetengah produk kecantikan; set penjagaan kulit dan alat solek, ada bahan larangan untuk ibu mengandung. Memang aku agak berhati-hati sebab mostly ubat jerawat memang tak boleh digunakan. Aku banyak bergantung pada Bio-Oil.

Mengandung kali ini, aku melalui fasa hormonal inbalance yang sangat tidak selesa. Bukan setakat alahan teruk dari yang dulu, masalah kulit pun teruk dari yang dulu. Nak pakai ubat jerawat memang tak boleh sebab salicylic acid, bahan aktif dalam produk anti-jerawat, adalah BIG NO bila mengandung dan menyusukan anak. Lagipun kulit aku tak sesuai sebab dia akan mengeringkan kulit aku ke tahap maksima. Retinol ke benzoic acid pun tak boleh. So, pada mulanya aku terima je keadaan hormon tidak stabil ni. Masalahnya, jerawat makin bertambah dan pertama kali aku dapat jenis-jenis yang besar tu. Senang kata, rutin biasa tak membantu dalam mengurangkan masalah jerawat.

Ummi sekarang menggunakan produk Forever Living sebagai sebahagian daripada supplement dia. Salah satu produk keluaran Forever Living ialah Aloe Vera Gelly. Rata-rata semua orang tahu kebaikan aloe vera gelly dengan pelbagai guna yang boleh merawat parut, luka dan macam-macam.

Ada satu ni Aloe Propolis Creme. Dia memang suggest aku guna Aloe Vera Gelly untuk macam-macam kegunaan: luka, jerawat, masalah sunburn. Aku pula terjumpa dekat internet yang masalah jerawat boleh dikurangkan dengan gabungan Aloe Vera Gelly dan Aloe Propolis Creme.

Sumber gambar Google

Apa yang aku buat ialah, aku sapu Aloe Propolis Creme kat kawasan jerawat naik, then sapu Aloe Vera Gelly. Adalah pedih-pedih gatal sikit. Sekejap je sebenarnya. Tapi yang bagusnya, pedih-pedih pun produk ni tak menyebabkan kulit jadi merah-merah atau terhakis. Pedih tu cuma reaction kuman dalam jerawat dengan ubat. Kena tahan dalam 10-20 saat lah juga. Even parut pun boleh sebenarnya.

Aku buat dalam dua ke tiga minggu. Setiap kali lepas solat isya, sebelum cuci muka malam. Kalau aku terlepas, aku buat masuk tidur. Tapi susah nak tidur dengan aman sebab aku bergolek-golek dengan Wildan, so aku elakkan dari buat masa tidur. Alhamdulillah, jerawat susut, bukanlah secara magiknya bersih terus. Haha. Tapi tak adalah jerawat yang ada tak nak susut dah naik yang baru. Aku tak pernah lalui proses pertumbuhan jerawat yang macam ni. Dan sampai sekarang kalau aku naik jerawat baru memang aku akan sapu Aloe Vera Gelly. Even kalau jerawat pecah pun, cepat-cepat aku sapu. Kalau aku rajin sangat, aku simpan Aloe Vera Gelly dalam peti ais dan sapu. Sejuk dari Aloe Vera Gelly tu boleh kata mengimbangi pedih yang ada.

Kalau betul-betul disiplin, hasil mungkin lebih baik. Lepas jerawat dah susut aku jarang buat dah. Jerawat pun naik bermusim je. Bila naik jerawat baru memang aku cepat-cepat letak. Jerawat taklah kecut terus, tapi dia tak jadi membesar dan taklah menguning tu. Most of the time, aku guna Aloe Vera Gelly. Satu tube tu tahan setahun. Tak perlu guna banyak-banyak.

Pada aku, lebih selamat guna aloe vera gelly ni sebab bahan semula jadi dan tak ada side effect. Pengalaman aku dengan kebanyakan produk anti-jerawat dari zaman bujang sampai sekarang ni memang mengerikan. Pernah sampai kulit aku kering dan jadi bersisik. Rupanya kulit aku sensitif. Nak tak nak aku memang kena avoid certain ingredients. Bila ada aloe vera gelly ni memang seronok!




Duduk rumah pun haru biru

Assalamualaikum.

Walaupun aku dah setahun duduk kat rumah, kadang-kadang hidup duduk kat rumah pun huru hara sangat.

Bermula dengan aku 24/7 dengan anak. Dua bulan pertama memang aku rasa susah sangat sebab aku seorang diri yang hadap ketawa nangis tantrum anak. Semenjak aku lahirkan Wildan, pertama kali aku seorang 24/7 dengan dia adalah lepas graduate. Sebelum tu, masa belajar boleh bergilir dengan abahnya. Masa cuti musim panas makcik pakcik dia, atuk nenek dia semua nak main dengan dia. Masa ke kelas, ada nanny datang rumah jagakan dia. Bila dapat interview kerja, aku mula berfikir anak nak letak mana. Usia belum dua tahun kena duduk taska. Kalau boleh aku tak nak sebab dia terlalu kecil dan mudah kena pengaruh. Dan adalah beberapa reason lain yang menyebabkan akhirnya aku decide untuk tak terima kerja tu. Sakit juga nak decide sebab aku tak tahu mana satu nak dahulukan.

Lepas dah tiga bulan jadi suri rumah, aku perasan yang Wildan manja lebih dengan abahnya. Padahal 24/7 dengan aku. Aku mula muhasabah diri. Anak belum masuk dua tahun, baru nak belajar tentang perasaan dan kasih sayang, aku pulak jadi mak yang garang. Haha. Tapi aku tak angkat tangan atau cubit dia. Aku cuma garang sebab dia suka buat sepah (budak kan) dan aku terasa susah sangat jadi fulltime housewife. Boleh kata stress juga. Memang ada masa aku serah TV je kat dia. Sungguhlah aku rasa tak berbahaya TV tu sebab pasang channel budak. (Masa tu ada Astro Ceria je, sebab tak subscribe pakej kanak-kanak). Sekarang dia manja lebih pula dengan aku. Aku yang marah bila dia buat salah pun, kat aku juga dia mengadu. Haha.

Bila dapat tahu pregnant, jadi lagi tak tentu arah sebab hormon memang tak stabil. Alahan, muntah-muntah dan yang paling tak tahan ialah pregnant kali ni sakit belakang almost all the time. Tak kuat tapi mengganggu dan ada masa tak boleh bergerak jadi. Kerja kemas rumah ada yang aku terpaksa tutup mata tak buat sebab tak larat. Ummi pun pesan untuk jangan buat kerja berat sebab risaukan baby. Yelah, pengalaman mengandungkan Wildan buat semua orang berjaga-jaga untuk kali ni. Sampailah dah masuk tengah trimseter kedua barulah boleh kembali kepada rutin asal, biarpun sakit belakang masih ada.

Bila dah genap setahun, aku mula rasa sayang nak tinggalkan anak kat orang kalau aku kerja, tambah lagi nanti ada baby baru. Huwaaa... suami tak kisah nak kerja atau tak. Aku je yang masih berbelah bahagi sebabnya kalau boleh aku nak apa yang aku susun untuk anak-anak berjalan seperti yang aku plan. Mak mana tak nak gitu kan? Lagipun aku rasa aku akan kerja bila anak-anak dah besar dan dah boleh jaga diri dari pengaruh tak elok. Bila entah aku pun tak tahu. Aku masih belum mengalah dengan cita-cita aku. Sebab suami support habis dan aku rasa boleh buat!

To me, jadi surirumah ni bukanlah senang. Aku dulu rasa 'alah setakat jadi surirumah, boleh sangat' Haha. Bolehlah sangat..... Stress juga sebulan dua yang pertama sebab baru merasa hadap kerenah anak kecik yang mood swing kalah orang period. Akulah memory card untuk rancangan TV dan karakter TV dia. Aku jugalah yang kena tukar lampin, mandikan dia. Aku jugalah yang kena pastikan perkembangan dia sesuai dengan usia. Itu baru bab anak. Belum masuk bab jaga rumah. Rutin kemas rumah, memasak, baju-baju kotor lagi. Memang penat. Aku pun tak pasti kalau aku kerja berdaya ke tak untuk aku buat semua yang aku buat sekarang ni. Sebab kerja pun penat, nak pastikan rumah dalam keadaan kemas dan teratur setiap hari pun penat. Kalau gabung dua tu, habislah aku. Alhamdulillah suami faham dan dia banyak tolong sana sini untuk aku.

Kepada yang tak kerja walaupun ada degree sebab jaga anak dan rumah, jangan bersedih hati sebab korang belajar banyak benda dari anak-anak sebenarnya. Dan kepada yang bekerja jangan sedih juga sebab tak dapat merasa pengalaman 24/7 dengan anak sebab korang mak yang hebat sebab mampu berbakti pada masyarakat di samping ada anak di rumah. To me, masing-masing dah timbang tara sehabis baik keputusan yang dibuat. Tak perlulah nak kondem pihak sana atau sini. Bersyukurlah dengan kedudukan dan kebahagian masing-masing. Lagipun timeline orang lain-lain, ada orang sekarang, ada orang tahun depan. So, keep calm and have faith in Allah.





Bumi Soviet itu

Assalamualaikum

Entri kali ini berbaur sentimental sikit. Kenapa? Sebab ada benda-benda yang aku rindukan masa aku duduk di Moscow dulu.

Dah setahun sebulan aku tinggalkan Moscow dalam tak sedar. Dan dah setahun aku secara official adalah SAHM. Fasa-fasa menjadi surirumah ni tak mudah. Memang aku salute orang yang jadi surirumah sepenuh masa sejak kahwin. Aku tiga tahun kahwin, baru setahun merasa. Itu pun struggle juga.

Back to the topic, I missed some parts of Moscow (as a student).

Beberapa bulan sebelum balik Malaysia, aku pernah tanya suami "Kalau kita stay je dalam Moscow untuk beberapa tahun aci tak?" Dengan selamba dia tanya balik "Nak makan ayam je ke sepanjang masa?" Haha. Sebabnya, ayam je yang murah. Ayam halal harga dua kali ganda mahal dari ayam tak halal, tapi itulah lauk paling murah. Ikan dahlah mahal walaupun tak segar mana. Daging mahal dan susah sikit nak dapat. Lagipun, as foreigner duduk Russia kena ada visa. Ada visa leceh, kena ada host yang boleh support untuk keep renew visa.

Kos sara hidup kat Moscow boleh kata tiga kali ganda mahal dari Malaysia. Air mineral saja RM5. Tapi kami duduk hostel universiti, dah cut cost kat duit sewa sebab murah. Bil letrik, bil air pun dan termasuk bayar hostel. Students yang duduk apartment sewa mahal walaupun dan bahagi samarata. Diaorang sewa satu rumah duduk 5-6 orang. Taklah terbeban mana, tapi masih mahal dari kami yang duduk hostel (student engineering je murah).

Aku rindu Moscow sebab aku rindu public transport dia. Haha. Jimat duit minyak dengan duit kereta. Duduk sana pakai public je pun cukup dah sebab memang sangat sangat efficient. On time, boleh bajet masa, better than roadway. Crowded tu tak perlu cakaplah. Dah nama sangat efficient, memang ramailah yang guna. Kat sana, guna public transport sangat jimat sebab ada kad transport untuk golongan-golongan tertentu dan ada kad bulanan lagi. Kami student memang dapat student card untuk transportation. Yang aku perasan, transport card ni boleh juga link dengan bank card. Golongan pencen dan tua-tua pun ada card diaorang.

Benda lain yang aku rindu kat Moscow ialah medical services dia. Haha. Universiti wajibkan medical check up kat klinik universiti every year untuk lepas PE, tak ambil kira tak lepas. Check up bukan check setakat ambil x-ray je, siap ada check ECG, ada ambil darah, ada ambil air kencing, kena jumpa doktor yang ketuk-ketuk lutut (lupa namanya apa), check gigi, yang perempuan kena jumpa gynaecologist, ada juga jumpa doktor yang check body posture. Ada orang kena buat semua, ada yang tak perlu sampai check darah, bergantung pada arahan yang makcik kat meja kaunter tu bagi.

Kalau klinik swasta, mahal memang mahal, tapi sangat bagus. Rata-rata semua orang kena ada insurans. Macam masa aku nak bersalin, nak sign contract dengan hospital, dia tanya juga ada family insurans ke (untuk cover pregnancy). Aku ada insurans yang universiti bagi je. Yang ni memang tak cover aku bersalin. Aku tengok semua ibu-ibu mengandung ada kad insurans untuk bersalin. Even register pun dia minta nombor insurans. Aku tak ada, diaorang ambil je yang universiti punya sebab nak key in data tak boleh tak masukkan nombor insurans.

Insurans diaorang bukan yang jenis bertahun-tahun. Bergantung pada jenis. Macam yang universiti selalu provide kat kami, renew every year. Masa Wildan pun sign contract dengan klinik keluarga untuk dapatkan insurans tu sebab kalau ada kes emergency susah bila call ambulans. Dan biasanya kalau dah sign contract dengan klinik tu boleh call ambulans dia je. Lagipun, dapat service lain selain cucuk vaksin ikut jadual.

Aku belajar kenal nama ubat. Sebab tu aku rindu medical services kat Moscow. Pergi check up dengan doktor, dia bagi list ubat apa kena beli kat farmasi sekali dengan dia explain kenapa dia bagi ubat tu (ada je yang dia tak explain, most of the time dia explain). Datang check up yang kemudian, bila doktor tanya ubat apa, tergagau nak menjawab. Mula-mula aku pelik, tapi lama-lama aku belajar. Sampai ke content ubat pun aku ambil tahu.

Satu lagi yang aku rindu ialah orang Russia yang tak lokek ilmu dan baik hati. Memang orang Russia terkenal dengan kebengisan dan susahnya nak senyum tapi ada manusia yang jenis tak lokek ilmu dan baik hati. Pernah sekali beli cendawan, tengah pilih-pilih tu ada makcik tu tegur, dia kata aku salah cara pilih cendawan. Dia bagitahu tips nak pilih cendawan. Masa tu aku terkejut. Makcik tu bukan kenal aku pun, dahlah aku bertudung pula. Tapi dia baik hati untuk ajar basic skills. Banyak sangat cerita best-best orang Russia ni sebenarnya.

Last sekali yang aku paling rindu kat Moscow ialah budaya memuliakan orang perempuan. Adab orang lelaki dengan perempuan sangat bagus. Sebelum sampai Russia, cikgu bahasa kami awal-awal dah pesan kat budak lelaki yang budaya mereka lelaki tak hulur tangan dulu untuk berjabat tangan. Tunggu orang perempuan yang hulur, kalau tak hulur maknanya tak nak bersalam. Sama juga kalau dengan orang tua dan kanak-kanak. Tunggu diaorang hulur dulu. Sebagai tanda hormat.

Dalam metro atau bas atau tramvai tempat duduk diutamakan untuk orang tua, perempuan, ibu mengandung, kanak-kanak dan orang OKU. Biasanya kalau nampak senarai orang ni, mesti ada yang offer. Kami yang perempuan seronokla. Tapi bila sesak sangat orang, kami yang muda gagah boleh berdiri mengalah pada yang selayaknya duduk. Pernah sekali ada ibu mengandung ni berdiri, nampak dia dah sarat ada lima orang offer duduk tapi dia tak nak. Mungkin dia takut terlepas stesen, tapi nak tunjuk yang budaya begini bukan paksaan memang kebiasaan.

Sepanjang duduk Moscow banyak benda yang aku belajar; dari segi ilmu dalam kelas, pengalaman hidup dan skil untuk terus hidup (survival skill). Sebab tu dalam Islam kita digalakkan untuk travel supaya kenal budaya luar, ambil pengajaran mana yang buruk dan ambil teladan mana yang baik. Travel bukan dengan kemewahan sahaja, travel dengan hati yang terbuka untuk segala kemungkinan. Aku sempat travel dengan kawan-kawan sekali je sebelum kahwin. Selebihnya travel dengan suami dan dengan anak terus. I do love travelling and exploring new places. Aku pasang cita-cita nak kerja oversea. Haha. Doakan tercapai.

Financial Intelligence

Assalamualaikum

Bersemangat aku menulis kali ni sebab nak share satu buku yang sangat menarik. Buku karya Robert Kiyosaki. Penulis buku Rich Dad Poor Dad. Entri ni bukan pasal buku dia yang famous tu. Aku nak share satu buku yang amat mudah difahami dan mudah dibaca lagi-lagi untuk golongan yang malas membaca.

ESCAPE THE RAT RACE by ROBERT KIYOSAKI


Buku yang dibeli adalah dalam edisi Bahasa Melayu keluaran PTS. Sebab aku dapat harga murah dari pasaran dan memang aku jumpa versi ini. Harga pasaran RM11.90. Aku dah lupa masa beli berapa.

Suami yang mula-mula beli, tapi dia sedikit kecewa sebab isi kandungan terlalu ringkas (dia baca Rich Dad Poor Dad dulu). Aku tertarik dengan tajuk, so aku pun ambil baca.

Buku ini sebenarnya ringkasan dari Rich Dad Poor Dad dalam bentuk grafik atau pun bahasa mudah bentuk komik. Walaupun dalam bentuk komik, pendekatan sebegini sangat membantu mereka yang tak minat membaca dan adik-adik sekolah menengah. Biarpun dalam bahasa Melayu, tapi mesej dan input yang cuba disampaikan sangat jelas.

Secara ringkasnya, Robert nak kita faham yang ilmu tentang kewangan ni kita kena belajar dan ambil tahu walaupun tak ada modul khas atau silibus khas kat sekolah. Kebanyakan manusia, ignorant pasal financial intelligence. Duit keluar masuk pun tak ambil tahu secara teliti. Dan kebanyakan manusia juga sibuk kejar duit, jadi hamba duit. Sepatutnya duit itu jadi hamba kita, duit yang bekerja untuk kita. Benda ini yang diterangkan dalam buku Escape The Rat Race. Kalau tak faham apa yang aku cuba sampaikan, aku cadangkan belilah buku ni. Pelaburan yang sedikit untuk ilmu jangka masa panjang takkan rugi.

Bab baca buku pasal financial memang aku tak minat pada mulanya. Tapi lepas baca buku Escape The Rat Race ni, aku seronok pula nak tahu lebih lanjut. Suami ajak join pergi seminar kewangan pun aku tumpang. Seronok pula.

Ramai yang ignorant tentang ilmu kewangan. Biarpun sekadar ambil tahu duit keluar masuk, ilmu kewangan ni adalah untuk perancangan jangka masa panjang sebab ada duit keluar masuk yang kita tak nampak. Contoh paling ringkas yang tak nampak adalah hutang piutang kita. Lagi-lagi kalau loan rumah atau loan kereta yang kita buat auto debit.

Sejak baca buku ni, aku mula bezakan kehendak dan keperluan sebab ilmu kewangan ni tak boleh ikut serta dengan emosi. Dia kena logik. Aku bagi contoh mudah, handphone mahal. Sedangkan kita boleh dapat handphone yang lebih murah yang ada spesifikasi serupa dengan handphone mahal, kenapa handphone mahal juga 'keperluan'? Sebab emosi atau logik?

Tapi sejak kewagatan ekonomi ni, ramai juga aku nampak share pasal pengurusan wang. Baguslah kalau ramai yang mula sedar pasal financial intelligence. Personally, pada pandangan aku sebagai Muslim kita kenalah ada ilmu kewangan yang jelas. Sebab nak beramal beribadah pakai duit. Dan duit atau harta ni salah satu pelaburan untuk akhirat kelak. Kalau masa hidup satu sen pun kita tak mampu nak sedekah atau infaq pada jalan Allah, takkan nak bergantung kat dua lagi: ilmu yang bermanfaat dan anak soleh. Belum tentu kita boleh contribute untuk dua benda ni. Kalau duit atau harta, insyaAllah semua mampu, biarpun satu sen. Kalau zaman Rasulullah dulu para sahabat semua, tak kira kaya atau miskin hatta yang fakir berlumba keluarkan harta untuk Islam, kenapa kita sekarang tidak?

Pointnya, belilah buku ni. Aku cadangkan buat mereka yang memang jenis tak gemar baca buku yang berbentuk teks atau novel. Aku juga sangat rekomen pada mereka yang tak gemar atau baru nak kenal tentang financial intelligence dan adik-adik yang sekolah menengah. Kalau suka, belilah Rich Dad Poor Dad. Aku pun tak baca lagi, aku baca buku kewangan yang lain. Nanti dah habis baca aku share pula.